I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, March 30, 2011

SEINDAH PERHIASAN DUNIA....


Seindah perhiasan dunia ialah wanita yang solehah. Benar, tidak diragui sama sekali. Namun, jika kita menyingkap kembali lembaran wanita Islam hari ini, banyak yang perlu kita perbaiki.

Bukanlah penulis mahu menghina mana-mana wanita, tetapi dari kaca mata penulis, wanita hari ini melihat bahawa perbezaan usia membolehkan seseorang menghalalkan sesuatu pergaulan.

Antara contohnya, seorang pelajar wanita bertemu dengan seorang pensyarah lelaki secara bersendirian di bilik pensyarah tersebut. Jika hal ini ditegur, alasan bahawa niat cuma ingin belajar itu akan kita terima kembali. Malah ada yang mengatakan hal tersebut tidak mengapa kerana pensyarah tersebut telah lewat usia. Di sinilah silapnya muslimah kita. Di sinilah sang mawar menumpulkan duri yang bertunas pada dirinya.

Daripada Jabir bin Samurah, Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah salah seorang daripada kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya." (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

Tidaklah punya pengecualian meski lelaki yang ditemui dalam keadan berdua-duan itu seorang pensyarah atau guru, bahkan ketika bertemu seorang imam sekalipun perlulah ditemani mahramnya. Hal ini bertujuan mengelak fitnah yang dapat menjatuhkan martabat seorang wanita Islam malahan mampu menjatuhkan Islam itu sendiri.

Dalam memburu gemilangnya sebuah kehidupan, wanita dan juga seluruh umat Islam perlu meletakkan agama sebagai perkara yang paling utama. Sememangnya kita semua telah sedia maklum bahawa niat tidak pernah menghalalkan cara.

Tambahan pula, dalam keadaan berdua-duaan, wanita tidak mustahil akan menghadapi gangguan seksual. Oleh itu, wahai wanita, sebaik-baiknya carilah teman ketika kalian ingin bertemu dengan seseorang di tempat-tempat yang terbatas daripada pandangan awam.

Kepada para wanita, carilah Islam dalam diri kalian. Sesungguhnya Islam telah memberikan panduan kepada kita. Carilah panduan itu, dan sematkan dalam jiwa kalian.

"Islam will dominate this world when we start to dominate Islam in our soul".


Thursday, March 10, 2011

Wahai Muslimahku, Tahukah dikau?

Wahai Muslimah ku tahukah dikau….

Bidadari itu jelitawan yang sangat mekar,
Riasnya indah lagi memukau,
Lentuknya tertib lembut gemalai,
Nur kasihnya terang cemerlang terpancar,
Serba sempurna akhlak gemilang.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau…

Sesungguhnya bidadari itu mempunyai Ratu,
Yang sangat sempurna dari yang sempurna,
Yang sangat dicemburui oleh sekaliannya,
Yang menjadi peneman paling utama,
Yang sangat memukau melebihi segalanya.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau…

Ratu bidadari pada dunia fana ini,
Isteri solehah gelaran di beri,
Tiada tertanding akhlak dan pekerti,
Tiada terbilang kesetiaan dan ketaatan diberi,
Tiada ternilai budi dan pengorbanan pada Allah dan suami,
Itulah Ratu bidadari di alam syurgawi.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau…

aku mengidam bertemu dengannya,
Hanya mengharap pada Ilahi,
Agar niat, amalan dan ikhlas ku di perhalusi,
Dalam merafakkan kesyukuran kepadaNya,
Agar syurga menjadi imbalannya,
Supaya hajatku menjadi terlaksana.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau..

Sesungguhnya Ratu bidadari menjadi idamanku,
Bukan sahaja membawaku ke syurga Allah,
Malah menjadi Ratu penemanku di alam sana,
Dan menjadi harapan dan doaku selama ini ……
Agar Ratu bidadari itu adalah kamu….……
InsyaAllah…..

Wednesday, March 9, 2011

10 Tanda Dia Jodoh Kita


Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :

1. Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2. Senang Bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3. Terima Kita Seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4. Sentiasa Jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5. Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6. Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7. Memahami Diri Kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8. Tampilkan Kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9. Kata Hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10. Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

- Artikel iluvislam.com

Minggu Muhasabah Cinta (MMC)




Assalamualaikum..Sempena Minggu Muhasabah Cinta anjuran Biro Kerohanian Kolej Rahim Kajai

Tarikh : 10-12 Mac 2011
Hari : Khamis - Sabtu
Bertempat : Foyer KRK, dan Masjid UKM
Antara aktiviti yang menarik diadakan :
i. Pertandingan Mencipta Video
ii. Pertandingan Menulis Cerpen
iii. Pertandingan Mencipta Poster
iv. Pertandingan Khat

Sebarang pertanyaan sila hubungi :
Harith (0137734303)
Hamiza (0133197559)

SEMUA DIJEMPUT HADIR UNTUK MEMERIAHKAN LAGI MAJLIS ILMU...
p/s : rugilah kalau xmai..insya Allah banyak input dan manfaat yang kita perolehi dalam majlis ilmu ini nnati..,,Jumpa disana..(^_^)!!! Sebarkan pada kawan-kawan yang lain..

p/s : Kepada semua ajk pelaksana,,sabar dalam setiap tindakan yang kita lakukan...Sentiasa memaafkan orang lain krna hidup kita tidak akan tenang jika hidup tanpa ketenangan..segala yang baik dijadikan pegangan, apa yang buruk dijadikan garis panduan bersama untuk kita sama-sama menjalankan dakwah sebagai da'ie..semoga usaha, tawakkal, dan doa kita dimakbulkan dan mendapat ganjaran yang tidak ternilai di sisiNya..Amin

Tahniah buat adik2 ku semua..buat yang terbaik untuk Biro Kerohanian Kajai..apa2 masalah tanya la kak ye (~^)!!!..Wa'allahu'alam...